“KAMI masih lagi suami isteri. Cerita kami sudah bercerai menerusi Whatsapp itu tidak betul,” kata pelawak popular, Tauke Jambu ketika mengulas dakwaan dia menceraikan isterinya, Nadia Mohd Affandi menerusi Whatsapp baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Nadia turut mendakwa Tauke menceraikannya menerusi kiriman rakaman suara di aplikasi WhatsApp ketika dia di kampung.

Bagaimanapun, Tauke tetap menafikan sekerasnya dakwaan Nadia itu.

Menurut Tauke, sebagai suami dia memang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya itu.

“Biasalah, dia tengah panas dan kami sedang bergaduh ketika itu.

“Orang perempuan memang cepat melatah. Tapi ada pihak yang menghasutnya.

“Cuma saya berharap semua pihak tidak sebarkan lagi fitnah dan doakan yang baik-baik,” katanya.

Namun, kata Tauke, dia tidak menafikan memang ada persisihan faham berlaku dalam rumah tangganya sebelum ini.

“Memang kami ada bergaduh dan ia adat dalam rumah tangga.

“Tapi tindakannya itu salah. Saya sudah puas menasihatkannya dan sebagai lelaki saya perlu banyak bersabar dengannya,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan berbincang untuk mengelesaikan masalah rumah tangga dengan Nadia, kata Tauke, buat masa ini, dia mahu memberi fokus pada program Maharaja Lawak Mega terlebih dulu.

“Biarlah Nadia menenangkan dirinya di kampung dulu,” katanya.

Tauke dan Nadia berkahwin pada 9 Disember 2017 dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Zamatul Khayla Aydina yang dilahirkan pada 26 Oktober tahun lalu.

Advertisements