Syarikat perkhidmatan pengawal keselamatan Cisco (M) Sdn Bhd menafikan sebarang kaitan dengan syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, Cisco System Inc.

Cisco (M) Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan di laman Facebooknya hari ini selepas sejumlah pengguna media sosial itu keliru ekoran nama yang sama dengan Cisco System.

“Kami ingin menyatakan bahawa CISCO (M) Sdn Bhd, dan CISCO ASEAN bukan syarikat yang sama,” katanya dalam kenyataan.

“Kami cuba (beri penjelasan). Sekarang telefon kami tak henti berbunyi,” kata syarikat itu di ruang komen status yang menyiarkan kenyataan itu.

 

Ia juga berkata individu yang didakwa menghina bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bukan kakitangan mereka.

‘Cisco Asean’ merujuk kepada laman Facebook Cisco System bagi wilayah Asean. Laman itu dibanjiri komen pengguna Facebook yang marah berkenaan seorang kakitangannya yang didakwa menghina Sultan Muhammad V semalam, susulan peletakan jawatannya sebagai Agong.

Menurut laman rasminya, Cisco (M) Sdn Bhd menawarkan khidmat pengawal keselamatan, termasuk pengawal bersenjata dan tidak bersenjata.

Cisco Systems pula terlibat dalam perkhidmatan dan produk berkaitan teknologi maklumat, termasuk router dan perkhidmatan keselamatan rangkaian.

Advertisements