KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa kadar minimum caruman berkanun syer majikan untuk pekerja wajib mencarum berumur 60 tahun ke atas akan dikurangkan kepada empat peratus sebulan.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP memaklumkan kadar caruman minimum baharu ini akan bermula dengan gaji atau upah Januari untuk potongan caruman pada Februari ini.

“Langkah untuk mengurangkan kadar caruman ini adalah berikutan cadangan Kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November 2019.

“Ia bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja yang masih bekerja selepas mencapai umur 60 tahun.

“Pengurangan syer majikan kepada minimum empat peratus pula dapat menggalakkan peluang pekerja bagi pekerja yang melebihi umur 60 tahun, seterusnya membolehkan pendudukan berumur 60 tahun ke atas terus produktif dan aktif dalam ekonomi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, KWSP memohon pelanggan merujuk laman webnya di www.kwsp.gov.my atau boleh juga menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03-8922 6000.

Advertisements