“DIA tidak lagi bersama kami.” Itu kenyataan rasmi Cisco System (Malaysia) Sdn Berhad membabitkan kes bekas kakitangannya Eric Liew yang mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Enggan menjelaskan sama ada Liew dipecat atau meletak jawatan, Pengarah Urusan Cisco Malaysia Albert Chai berkata, kakitangan itu sudah tidak bersama syarikat berkenaan sejak semalam.

Chai berkata, pihaknya enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai Liew selaras perundangan kerahsiaan maklumat pekerja diamalkan di negara ini.

“Cisco percaya dan menghormati undang-undang serta budaya masyarakat Malaysia.

“Atas kesalahan dilakukan seorang pekerja kami (Cisco), ia tidak melambangkan syarikat Cisco.

“Kami kesal dan memohon maaf. Pekerja berkenaan tidak lagi berkhidmat dengan syarikat,” katanya ketika ditemui di lobi One Sentral, Kuala Lumpur iaitu bangunan yang menempatkan pejabat syarikat berkenaan, hari ini.

Beliau turut meluangkan masa menerima memorandum berkaitan isu itu daripada Pemuda UMNO.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, pihaknya memuji kesediaan syarikat berkenaan untuk menyelesaikan isu terbabit.

“Tetapi kami memberikan masa 24 jam kepada Cisco Malaysia untuk memberikan bukti bahawa Eric Liew tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan seperti tindakan efektif dilakukan syarikat (pengedar kereta) Honda,” katanya.

Bulan lalu, kakitangan syarikat pengedar kereta Honda, Sri Utama Auto Sdn Bhd (Honda Sri Utama Auto), Caryn Yean yang mengeluarkan kenyataan menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diberhentikan kerja serta-merta.

Advertisements