NIAT murni membendung penyalahgunaan dadah, terpaksa ‘dibayar dengan darah’ apabila nyawanya melayang akibat dibunuh sekumpulan penjenayah di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, di Shah Alam, semalam.

Itu nasib menimpa M Thiyahu, bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Shah Alam apabila dia meninggal dunia selepas ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang, kira-kira 5 petang.

Sumber berkata, mangsa dipercayai tahu ada sekumpulan penjenayah mahu mengedar dadah di kawasan berkenaan dan cuba untuk menghalang kegiatan terbabit.

“Itu dipercayai motif mangsa ditetak kumpulan penjenayah berkenaan yang dikatakan tidak berpuas hati apabila mangsa cuba menghalang kegiatan mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa melarikan diri sejauh kira-kira 200 meter dari blok berhampiran sebelum terjatuh kerana kakinya ditetak.

“Mangsa ditetak berkali-kali sehingga berlumuran darah, kumpulan penjenayah itu pula tidak memakai topeng dan dilihat memang mengenali mangsa.

“Selepas beberapa minit, suasana menjadi bising dan riuh, kumpulan penjenayah itu bergegas beredar dan mangsa dibiarkan tinggal nyawa-nyawa ikan sambil meminta pertolongan,” katanya.

Seorang lagi penduduk berkata, ketika kejadian dia dan adiknya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising.

“Disebabkan takut, saya hanya mengintai melalui tingkap dan lihat ada orang menjerit-jerit meminta tolong.

“Saya tidak tahu punca sebenar sebelum melihat berita mengenai kejadian bunuh itu, ia adalah pengalaman menakutkan kerana ia adalah kejadian pertama sepanjang saya tinggal di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai motif kejadian.

Menurutnya, sehingga kini, empat individu termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Tiga lelaki berusia 23, 24, serta 25 dan seorang wanita berusia 20 tahun ditahan di sekitar Shah Alam dan Klang malam tadi.

“Semua individu itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, polis kini turut menjejaki seorang lagi suspek dikenali sebagai M D Ozziram, 25, bagi melengkapkan siasatan.

“Lelaki ini digelar Ozzi dan alamat terakhirnya di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan K Vignes Kumar di talian 03-5520222,” katanya.

Fadzil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisements