PETALING JAYA: Tan Sri Tony Fernandes menyindir Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)selepas sarang lebah dikesan di tingkap sebuah platform di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Sekarang kita ada lebah di KLIA2. Kita ada ulat sampah, tikus dan sekarang lebah. Mungkin sebuah zoo atau madu KLIA2?

“Boleh jadi pendapatan baharu yang boleh mengurangkan cukai lapangan terbang.

Jokes aside, perkara ini membahayakan penumpang dan kakitangan saya. Adakah CEO baru yang jarang berkomunikasi boleh menyelesaikan masalah ini?,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia itu menerusi Twitternya malam Isnin.

Fernandes turut memuatnaik sekeping gambar yang menunjukkan tingkap di sebuah platform di KLIA2 menjadi sarang lebah.

Terdahulu, terdapat aduan mengenai serangan tikus selepas video seekor tikus menguis lantai permaidani sebuah ruang rehat di KLIA2 tular di media sosial.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 4 Januari lalu mengumumkan pelantikan Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAHB yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

Advertisements