PENYANYI Santesh memohon maaf selepas dikatakan tidak sensitif apabila memakai baju dengan lambang Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang ketika muncul dalam program #SenangTerhibur, baru-baru ini.

Santesh atau nama sebenarnya Shanthesh Kumar Sukumaran, 31, berkata, dia tidak menyangkakan simbol ‘hashtag’ yang menggantikan bulan dan bintang itu akan menjadi isu.

“Saya minta maaf kerana tidak sensitif mengenai penggunaan Jalur Gemilang dalam rekaan baju itu. Baju itu pun saya terima sebagai hadiah dan tak sangka pula ia akan menimbulkan isu besar,” katanya.

Menurut penyanyi lagu popular Amalina itu, dia akan lebih berhati-hati dalam berpakaian dan menerima sebarang hadiah daripada peminat atau mana-mana individu.

“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian untuk dipakai ketika muncul di mana-mana acara.

“Saya sendiri masih baru dalam industri dan tidak banyak pengalaman. Saya anggap ini sebagai pengajaran buat diri saya,” katanya.

Program #SenangTerhibur yang membabitkan Santesh itu dirakamkan beberapa bulan lalu, namun baru saja ditayangkan di TV3 pada setiap Ahad bermula 6 Januari lalu.

Program yang bersiaran jam 11 malam itu juga diacarakan oleh pengacara, Shuk dan Jihan Muse.

Advertisements