Pejabat Perdana Menteri hari ini nmenjelaskan bahawa laporan Utusan Malaysia mengenai ucapan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini di Kuala Terengganu adalah tidak tepat.

Dalam satu kenyataan kepada akhbar itu, Pejabat Perdana Menteri mempertikaikan dua perenggan dalam laporan yang diterbitkan semalam.

Perenggan pertama berbunyi “DAP tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang daripada DAP.”

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Dr Mahathir langsung tidak menyebut “DAP tentukan siapa pemimpin”.

Perenggan kedua yang dipertikaikan pula berbunyi: “Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak bagi tahu bahawa yang tentukan saya akan jadi pengerusi PH dan bakal PM jika menang dalam PRU lalu adalah DAP.”

Menurut Pejabat Perdana Menteri, apa yang sebenarnya diucapkan oleh Mahathir adalah – “Saya tahu ada orang yang berpendapat bahawa parti DAP ini parti musuh, musuh orang Melayu. Semua orang Melayu dibagitahu oleh Umno bahawa parti DAP ini adalah musuh. Tapi saya nak bagitahu yang cadang saya jadi pengerusi dan saya jadi bakal perdana menteri kalau menang adalah DAP.”

Laporan Utusan juga memetik Mahathir sebagai berkata bahawa DAP memainkan peranan penting dalam menentukan “segala-galanya” dalam kerajaan persekutuan.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri juga berpendapat bahawa Utusan Malaysia tidak melaporkan berdasarkan fakta dan isi kandungan ucapan Mahathir ketika merasmikan ibu pejabat Bersatu Terengganu.

Advertisements