KUALA LUMPUR: Tidak berputus asa menjejaki kucing kesayangan yang diberi nama Pekan, aktres jelita, Rita Rudaini melancarkan kempen ‘Justice For Pekan’ (Keadilan Untuk Pekan) melalui media sosial, hari ini.

Bimbang kehilangan Pekan ada kaitan dengan sindiket menjual kucing secara haram, Rita yang kehilangan haiwan peliharaan itu sejak Khamis lalu, turut memperkenalkan tanda pagar Justice For Cats (Keadilan Untuk Kucing).

Dalam perkongsian di Instagram, pagi tadi, Rita memuat naik foto laporan polis mendakwa faktor kecuaian selain beberapa fakta meragukan diberi dua individu yang mengambil Pekan daripadanya bagi tujuan mengawan, minggu lalu.

“Langkah demi langkah sudah saya mulakan. Kes (kehilangan) Pekan sudah membabitkan polis kerana sikap tidak jujur dan tidak amanah mereka.

“Saya akan buat apa saja untuk keadilan Pekan… Sama juga untuk kucing lain jika betul wujud sindiket membabitkan jualan kucing.

“Siapa tahu tindakan saya ini boleh membantu mereka yang berdepan masalah sama,” katanya melalui entri berkenaan.

Rita bertekad mengheret pihak yang jika terbukti bertanggungjawab, ke muka pengadilan.

“Saya boleh terima jika orang bercakap jujur dan memohon maaf. Tapi saya memang tak boleh terima pembohongan atau bermain ‘wayang’.

“Bagi saya, buat satu penipuan, ia sudah ‘membunuh’ semua kebaikan lain. Orang yang sekali menipu, apakah mereka boleh dipercayai lagi?” kongsinya di laman Instagram.

Dalam perkongsian itu, Rita mendakwa dua individu terbabit memberitahu, Pekan mengopak sangkar besi dan lari.

“Dakwaan itu amat meragukan… Bagai mustahil Pekan boleh berbuat begitu.

“Selain itu, mereka juga mendakwa, rumah tidak dilengkapi kamera litar tertutup sekalipun saya tidak bertanya mengenainya.

“Tetapi apabila disemak di Instagram mereka berhubung kamera litar tertutup, maklumat sebaliknya dikongsi… Kenyataan itu amat bercanggah,” katanya.

Sehubungan itu, Rita berharap mendapatkan rakaman kamera litar tertutup sejak tarikh 1 Januari lalu ketika Pekan diserahkan sehingga haiwan itu hilang.

Sementara itu, Rita berharap pihak yang terambil Pekan untuk memulangkannya.

“Saya cuma akan ambil tindakan kepada yang memberi Pekan. Tapi kalau yang menerima pun bersubahat, saya akan heret sama,” katanya.

Sejak kehilangan Pekan, Rita melakukan pelbagai usaha termasuk mengadakan soal hajat agar haiwan kesayangan dipertemukan.

Advertisements