SEPANG: Ratusan lebah yang memenuhi ruang Bay Q4 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, yang tular di media sosial sejak kelmarin, sudah dihalau oleh pasukan kawalan serangga pada jam 8 malam tadi.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam laman sosial, Twitter rasminya berkata, menjadi keutamaan pihaknya untuk memastikan keselamatan penumpang dan komuniti di lapangan terbang sebagai keutamaan.

“Cerita mengenai sekumpulan lebah yang hinggap di klia2 pagi semalam (kelmarin) sudah berjaya diselesaikan oleh pasukan kawalan serangga pada jam 8 malam.

“Kami sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan komuniti lapangan terbang,” katanya.

MAHB dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan terdapat sarang lebah di klia2, sebaliknya ia hanya kumpulan lebah yang datang ke bangunan berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes berang dengan pengurusan klia2 selepas mendakwa menemui sarang lebah di tingkap di sebuah bangunan di lapangan terbang itu.

Dalam ciapannya di Twitter, Fernandes berkongsi gambar lebah yang didakwa dirakamkan di klia2.

“Sekarang kita ada lebah di KLIA2. Kita ada ulat, tikus dan sekarang lebah.

“Mungkin (boleh bina) zoo atau (jual) madu KLIA2. Boleh jana pendapatan baru bagi mengurangkan cukai lapangan terbang,” katanya sinis.

Advertisements