KUALA LUMPUR: Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) hari ini memeterai Perjanjian Bersama (CA) baharu menyaksikan hampir 20,000 kakitangan bank di seluruh negara menikmati kenaikan gaji sehingga 12 peratus.

CA itu adalah untuk tempoh dari 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020 membabitkan hampir 20,000 kakitangan dalam kategori pengkeranian dan bukan pengkeranian dari 20 bank di Malaysia.

Di bawah perjanjian itu, ahli MCBA akan menawarkan pelarasan gaji sebanyak 12 peratus kepada semua kakitangan bukan pengkeranian dan 10 peratus untuk kakitangan pengkeranian, tertakluk kepada gaji maksimum dalam jajaran gaji masing-masing.

Selain pelarasan gaji itu, gaji permulaan untuk kumpulan kakitangan berbeza yang termasuk dalam CA itu juga akan meningkat di antara 12 hingga 16 peratus dengan gaji maksimum mereka ditingkatkan sehingga 16 peratus.

Tambahan itu, bank-bank juga akan menaikkan elaun sara hidup (COLA) semasa dari RM400 kepada RM600 bermula awal tahun ini.

Gabungan gaji asas dan COLA itu menjadikan gaji permulaan untuk seorang kerani baharu sebanyak RM2,400, tidak termasuk bonus kontrak sebanyak dua bulan yang dibayar pada Disember setiap tahun.

Ini menjadikan pakej CA baharu itu antara yang paling kompetitif di pasaran dan jauh lebih baik dibandingkan dengan kajian dilakukan oleh Institut Penyelidikan Khazanah Research yang mendedahkan gaji permulaan sebenar yang diminta oleh graduan baharu tamat pengajian sebanyak RM1,846.

Selain itu, manfaat utama dan paling penting ditawarkan CA baharu itu ialah semua ahli bank bersetuju untuk menawarkan kakitangan masing-masing kadar faedah sifar peratus bagi RM100,000 pertama pinjaman perumahan berkuatkuasa 1 April 2019.

Kadar sifar peratus ini juga terpakai untuk kakitangan yang sudah mempunyai pinjaman sedia ada.

Pada majlis itu, MCBA diwakili oleh Presidennya, Nora Abd Manaf dan Pengarah Eksekutifnya, Lam Yoo Yuen manakala NUBE oleh Presidennya, Tan Eng Hing dan Setiausaha Agungnya, J Solomon.

Upacara itu disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Bank Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias dan Setiausaha Agung Kesatuan Organisasi Rantau Asia bagi Bank, Insurans dan Kewangan, MR Shah.

Kulasegaran dalam sidang media selepas majlis itu berkata, CA baharu itu menjadi penanda aras kepada keseluruhan industri di Malaysia apabila perjanjian itu berjaya dimeterai tanpa membabitkan pihak ketiga.

“Ini sesuatu yang memberangsangkan apabila kerajaan tidak perlu masuk campur dalam perjanjian ini. Ia seperti sudah menjadi sesuatu yang baharu dengan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, Nora dalam ucapannya berkata beliau percaya CA baharu itu akan lebih memotivasikan kakitangan semua bank bagi berusaha lebih keras meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

Katanya, pakej keseluruhan imbuhan ditawarkan di bawah CA baharu itu yang digabungkan dengan peluang pembelajaran dan kerjaya ditawarkan pelbagai bank, akan menjadikan sektor perbankan kekal sebagai industri paling tinggi menarik minat bakat baharu dan terbaik.

“Walaupun bank tidak pernah ragu-ragu untuk berkongsi keuntungan hasil pelaburan perniagaannya dengan kakitangannya dan mengambil tanggungjawab besar dalam menyediakan peluang pekerjaan, kami berharap kakitangan yang diwakili oleh kesatuan supaya menunjukkan komitmen dalam bidang tugas mereka,” katanya.

Advertisements