GEORGETOWN: Lelaki yang menampar juruwang wanita sebuah kedai serbaneka kerana tidak dibenarkan membeli tiga paket minyak masak ditahan polis di Jalan Nuri, Sungai Ara, Bayan Lepas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata suspek yang berusia 47 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan jam 2 petang.

“Setakat ini, suspek mengaku yang dia memang memukul mangsa kerana gagal mengawal kemarahan.

“Suspek yang berasal dari Butterworth itu akan direman di Mahkamah Balik Pulau esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya

Dalam kejadian jam 8.40 pagi, semalam di kedai serbaneka di Bayan Lepas, seorang wanita berusia 29 tahun ditampar di belakang kepala.

Mangsa juga diugut suspek yang berang kerana tidak dibenarkan membeli tiga paket minyak masak berikutan pembelian bungkusan minyak masak satu kilogram itu hanya dihadkan dua paket bagi setiap pelanggan.

Advertisements