MENGINJAK usia 40 tahun memberi makna mendalam buat penghibur kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang diterjemahkan dalam bentuk  gelang emas dihadiahkan untuk bonda tercinta, Siti Salmah Bachik.

Isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini berkata, hadiah tersebut sebagai tanda terima kasih terhadap pengorbanan ibu yang melahirkannya pada 11 Januari 1979. 

 

“Mak saya seorang yang sangat sederhana, saya bagi apa jenis beg sekali pun dia tetap gemar beg yang dia suka. Dia seorang wanita yang seadanya.

“Saya tidak berkesempatan untuk memberi hadiah pada hari jadinya yang lalu kerana saya berada di Dubai. Selain itu, suami juga sudah terapkan amalan ini apabila menghadiahkan cincin kepada saya sebagai tanda pemberian daripada Aafiyah kerana melahirkannya. 

 

“Saya mahu buat perkara yang sama iaitu menghargai ibu saya setiap kali ulang tahun kelahiran saya,” ujarnya.

Siti ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya ke 40 yang diadakan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Jumaat. 

Dalam pada itu, ditanya tentang hadiah yang diterima daripada suaminya, Siti berkata, masa dan ruang yang diluangkan dengan bercuti adalah yang paling berharga.

“Baru-baru ini suami membawa saya bercuti dan habiskan masa bersama. Pada saya masa dan ruang serta kasih sayang yang dia berikan adalah hadiah paling bermakna daripada harta benda yang dia berikan kepada saya. 

“Selain itu majlis malam ini juga diuruskan sepenuhnya oleh dia dan saya tidak ambil tahu apa pun. Tetamu semua dia yang uruskan.

“Suami saya adalah seorang yang ambil berat dari setiap sudut dan majlis ini adalah salah satu yang dia dah buat untuk saya,” ujarnya. 

Dalam pada itu Siti pada ucapannya turut meluahkan kata-kata romantis terhadap suami yang sentiasa membahagiakan dirinya. 

 

 

Advertisements