SHAH ALAM: Pelakon Azad Jazmin tidak menyangka, rakaman video aksi adik iparnya, Syainie Aida sedang mesra menari dengan vokalis Noah, Ariel membuka ruang untuk gadis itu bertapak di Indonesia.

Azad berkata, rakaman itu pada mulanya dimuat naik di laman sosial sebagai gimik promosi untuk memperkenalkan isterinya, Eira Syazira yang berkongsi pentas dengan Wali Band sempena tahun baharu.

“Saya yang memberikan idea untuk melakukan gimik itu kerana strategi seperti itu mampu menarik perhatian ramai.

“Saya cuma mahu peminat di sana menyedari kehadiran Eira yang terpilih untuk berkongsi pentas dengan Wali Band.

“Tidak sangka pula, ia membuka ruang kepada Syainie untuk bertapak di sana apabila dilamar sebuah syarikat produksi untuk membintangi sinetron,” katanya.

Meskipun aksi itu dikecam kebanyakan peminat di negara ini, Azad berkata, peminat di Indonesia pula melihatnya dari sudut persepsi berbeza.

“Ramai di sana memaklumkan mereka patah hati, malah tertanya-tanya gerangan gadis yang menari bersama Ariel pada malam itu,” katanya.

Sementara itu, Eira pula meluahkan perasaan terkilan dengan sikap segelintir netizen yang gemar menuding jari tanpa usul periksa.

Meskipun dikritik, Eira menyifatkan gimik yang dirancang menjadi apabila usaha kerasnya menapak dalam bidang nyanyian di negara jiran itu mendapat perhatian.

“Saya pernah tertanya-tanya mengapa tidak banyak pihak yang bercerita mengenai usaha saya menembusi pasaran negara seberang.

“Namun, masyarakat mudah melatah dan hanya mencari salah, berbanding melihat usaha yang saya lakukan sebelum ini.

“Biarpun tidak mendapat liputan meluas, saya bersyukur dengan sokongan tanpa henti yang diberikan Azad, keluarga dan rakan-rakan rapat.

“Mereka menjadi penguat semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik dan tidak mudah mengalah,” katanya.

Eira berkata, mengikut perancangan, dia dan Azad bakal kembali ke Jakarta, sedikit masa lagi bagi melunaskan proses rakaman album yang dijangka siap sepenuhnya sekitar Mac.

“Banyak yang ingin dicapai pada tahun ini dan saya berharap semua perancangan itu akan berjalan lancar,” kata Eira.

Advertisements