PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari selepas gagal hadir dalam perbicaraan kes dadah dihadapinya Jumaat minggu lalu.

Majistret Nor Arifin Hisham menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam mewakili Farid Kamil, Megat Syazlee Mokhtarom untuk menarik balik waran tangkap yang dikenakan terhadap pelakon watak utama filem Lagenda Budak Setan itu.

Bagaimanapun, Nor Arifin memerintahkan wang jaminan terhadap Farid Kamil, 37, dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Terdahulu, Megat berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir pada prosiding minggu lalu berikutan beliau mempunyai urusan kerja di Johor Bahru, Johor.

“Saya sudah memaklumkan kepada Farid berhubung perbicaraan yang perlu dihadirinya pada Jumaat minggu lalu dan beliau kemudiannya bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

“Namun, kereta beliau rosak di Danga Bay, Johor Bahru, Johor kira-kira jam 4 pagi, dan kenderaannya itu ditunda ke sebuah bengkel di Tampoi, Johor,” katanya yang turut memaklumkan Farid Kamil hanya dapat dihubungi kira-kira jam 11 pagi pada Jumaat minggu lalu kerana bateri telefonnya habis.

Dalam prosiding itu, Megat turut mengemukakan resit pembayaran kereta tunda dan gambar kereta Farid Kamil yang rosak kepada mahkamah.

Sementara itu, Farid Kamil kemudiannya memohon maaf dan tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah dan sentiasa memberikan komitmen penuh pada perbicaraan sebelum ini.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan yang dikeluarkan pihak pembelaan.

Alia turut menjelaskan kepada mahkamah bahawa tarikh perbicaraan iaitu 11 Januari itu sememangnya sudah diberitahu sebulan lebih awal dan bukannya secara tiba-tiba seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Turut hadir pada prosiding itu, adik Farid Kamil, Fadzil dan bapanya, Datuk Dr Zahari Che Dan.

Pada 25 Januari 2018, Farid Kamil, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menggunakan dadah ganja THC atau Tetra Hydrocannibol di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Selain itu, Farid Kamil turut berdepan lima pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018.

Sementara itu, pada 9 Mac tahun lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dekat sini kira-kira jam 5.54 petang, 31 Januari tahun lalu.

Advertisements