PETALING JAYA: Tiada hari pelepasan am diwartakan pada 31 Januari ini seperti yang tular melalui aplikasi WhatsApp.

Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa mengesahkan bahawa tarikh tersebut merupakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-252 (khas) Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.

“Tiada cuti diwartakan untuk tarikh tersebut kerana hanya mesyuarat dan bukan Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

 

“Pemakluman berkaitan cuti Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan dihebahkan melalui bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan selepas mesyuarat tersebut selesai,” menurut kenyataan itu selepas merujuk maklumat daripada pejabat Penyimpan Mohor-mohor Besar Raja-raja.

Khabar angin mengenai hari pelepasan am itu membuatkan rakyat teruja memandangkan tarikh tersebut yang jatuh pada Khamis memberi peluang kepada orang ramai untuk merancang cuti panjang.

Upacara Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diikuti dengan cuti umum Hari Wilayah Persekutuan pada keesokannya, cuti hujung minggu (Sabtu dan Ahad) serta cuti Tahun Baru Cina yang disambut pada 5 dan 6 Februari.

Advertisements