KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta bagi mendapatkan projek kerajaan bagi beberapa syarikat.

Sementara itu, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim mengaku tidak bersalah dua pertuduhan bersubahat dengan adiknya, Abdul Azeez menerima rasuah RM4 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapat projek kerajaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 manakala Abdul Latif dibenarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada Mahkamah.

PENDAKWA RAYA

LAWAN

ABDUL AZEEZ BIN ABDUL RAHIM

PERTUDUHAN PERTAMA

Bahawa kamu, pada 08 Disember 2010, di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, No. 6, Jalan Tun Perak, City Centre, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah secara rasuah menerima bagi diri kamu suatu suapan, iaitu, wang tunai sejumlah RM1,200,000.00 melalui akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 14140037378050 milik kamu daripada Mohammad Redzuan Mohanan bin Abdullah yang merupakan Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., sebagai upah bagi diri kamu kerana telah melakukan suatu perkara yang sebenar, iaitu, membantu Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. mendapatkan projek-projek (seperti di Lampiran A) daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus dan tender terhad yang keseluruhannya bernilai RM197,805,750.18, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman:

Apabila disabitkan boleh:

(a)dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan

(b)didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

LAMPIRAN A

1. PROJEK JALAN AIR KUNING KE KAMPUNG GAJAH, DAERAH BATANG PADANG, PERAK DARUL RIDZUAN;

2. PROJEK JALAN AIR KUNING KE KAMPUNG GAJAH, DAERAH BATANG PADANG, PERAK DARUL RIDZUAN (FASA II);

3. PROJEK MEMBINA JALAN AIR KUNING KE KAMPUNG GAJAH, DAERAH BATANG PADANG, PERAK DARUL RIDZUAN (FASA 3); DAN

4. PROJEK MEMBINA JALAN KAMPUNG MERBAU KUDUNG / FELDA TELOI TIMUR, SIK, KEDAH (REKA & BINA)