PENUNTUT perubatan tahun akhir di sebuah universiti awam di Kuala Terengganu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan muncikari atau menjadi bapa ayam di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh, Mohd Luqman Zulkepli, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.

Dia didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana muncikari.

Kes ini adalah yang pertama seumpamanya di Mahkamah Syariah negara ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd Luqman melakukan muncikari atau menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara seorang perempuan dan lelaki.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 2.43 pagi hingga 6.05 petang antara 27 hingga 28 Ogos 2018 di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Fazru Anuar Yusof dan Mohd Sofian Arifin.

Sebelum ini dilaporkan, dua bapa ayam warga tempatan mengenakan caj antara RM250 hingga RM600 untuk ‘menjual’ perkhidmatan tiga pelacur di bawahnya menggunakan aplikasi WeChat yang menjadikan dua hotel ternama di bandar raya ini sebagai lokasi operasinya.

Bagaimanapun, semua mereka ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam dua serbuan berasingan di dua hotel berkenaan pada Ogos lalu.

Advertisements