“SAYA sudah merujuk kepada beberapa ustaz, guru pondok dan ahli agama untuk mengetahui hukum menggunakan wang itu dan ada yang memberitahu boleh menggunakan wang berkenaan.

“Namun, setakat ini saya masih mencari jawapan yang pasti dan tidak menggunakan wang itu,” kata Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, penjual pakaian ‘bundle’ yang menemui wang tunai sebanyak 550,000 yen (RM20,755.84) dalam guni bundle pada 8 malam Sabtu lalu.

Wan Mohamad Adam berkata, sejak semalam dia sudah berjumpa beberapa orang ustaz dan bertanya penemuan wang dalam guni bundle yang sudah dibeli dengan lafaz akad jual beli.

Katanya, bundle berkenaan dibeli dengan harga RM50 daripada pemborong dan dia tidak mengetahui isi keseluruhan dalam guni berkenaan.

“Namun selepas dibuka baharu saya temui wang itu hingga ia tular dan mendapat reaksi positif serta negatif daripada orang ramai.

“Jadi sejak semalam, saya tidak membuka laman Facebook kerana tidak sanggup membaca kecaman netizen.

“Saya juga dimaklumkan oleh ibu saudara dan ahli keluarga berhubung kenyataan Mufti Kelantan (Datuk Mohamad Shukri Mohamad) supaya wang yang ditemui itu diserahkan kepada Baitulmal,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, kerana terlalu banyak komen netizen membuatkan ahli keluarganya takut walaupun dia tidak membuat kesalahan.

Semalam dilaporkan, Wan Mohamad Adam terkejut menemui wang tunai sebanyak 550,000 yen (RM20,755.84) dalam guni bundle yang disimpan di dompet dalam kot.

Difahamkan, Wan Mohamad Adam dan sudah menukar sebanyak 450,000 yen kepada Ringgit Malaysia yang berjumlah RM16,800.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengulas perkara itu berkata, wang yang ditemui itu tiada pemilik dan ia perlu diserahkan kepada Baitulmal untuk kegunaan umum.

Advertisements