SUBANG JAYA: Rakyat Malaysia yang diserang strok di London, Sahrom Ahmad, 59, berjaya dibawa pulang ke Malaysia petang tadi selepas 42 hari menerima rawatan di London.

Anaknya, Nurul Aisyah, 24, berkata bapanya diserang strok sebaik saja tiba di negara itu untuk meraikan majlis graduasi anaknya, Nur Amalina.

“Ayah kini berada di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dalam keadaan stabil, namun kini masih dalam pemerhatian pihak perubatan.

“Beliau tiba di Malaysia kira-kira jam 6 petang tadi diiringi kakak dan ibu saudara menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 8 Januari lalu, Sahrom diserang strok sebaik saja tiba di negara itu untuk meraikan majlis graduasi anaknya.

Beliau turut mengalami pendarahan otak dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Charing Cross, London untuk menyelamatkan nyawanya.

Selepas tiga minggu dirawat, keadaan bapanya semakin stabil dan pihak hospital membenarkan keluarga membawa Sahrom pulang ke Malaysia.

Namun, usaha Nur Amalina terbantut berikutan kerenah birokrasi daripada syarikat insurans di Malaysia.

Mengikut perancangan, Nur Amalina sepatutnya menerima ijazah sarjananya pada 17 Disember lalu, namun masalah kesihatan menimpa bapanya menyebabkan beliau tidak menghadiri majlis graduasi.

Kakitangan TNB itu menerima Ijazah Sarjana (Sains) Pengurusan Antarabangsa dari Universiti Loughborough.

Advertisements