KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan khidmat peguam pemerhati percuma kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bagi memantau perjalanan kes inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba terbabit.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tawaran itu sudah dimaklumkan kepada keluarga arwah menerusi lawatan yang dibuat wakilnya baru-baru ini.

“Kita mendengar khabar angin ada unsur-unsur untuk menutup kes ini supaya tidak berpanjangan.

“Bukan hendak mengapi-apikan, tetapi kita mahu keadilan untuk arwah yang terkorban semasa membantu menjaga keamanan rakyat Malaysia,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib, 24, dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah susulan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 di Seafield, USJ pada November tahun lalu.

Beliau berada dalam keadaan koma lebih sebulan dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya dan Institut Jantung Negara (IJN) di mana beliau menghembuskan nafas terakhir.

Untuk rekod, pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian arwah yang meninggal dunia 17 Disember lalu ditetapkan pada 18 Januari ini.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata pihaknya akan melancarkan sekretariat pemantauan harga barang diuruskan Pemuda UMNO negeri di 13 negeri dalam usaha membantu meringankan beban sara hidup rakyat dan kempen pendaftaran ahli UMNO di universiti.

“Sekretariat ini akan pantau setiap bulan harga barang asasi rakyat yang makin tertekan akibat kenaikan harga barang yang tidak dapat dikawal.

“Tiada strategi atau mekanisme dilakukan oleh kerajaan yang menjanjikan bulan dan bintang. Dulu kata apabila jadi kerajaan harga barang jadi murah, (jadi) kita perlu menzahirkan dan tidak tipu rakyat,” katanya sambil memaklumkan hasil dapatan pemantau akan diuar-uarkan di media sosial setiap bulan.