NEW YORK: Penyanyi Mariah Carey hari ini memfailkan saman ke atas bekas pembantunya kerana melanggar perjanjian kerahsiaan, kecuaian dan mencuri, menurut dokumen mahkamah.

Carey, antara penyanyi dengan jualan album paling laris di dunia mencecah 200 juta dan lagu hit termasuk ‘We Belong Together,’ memohon ganti rugi sekurang-kurangnya AS$3 juta (RM12.3 juta) daripada Lianna Azarian.

Penyanyi yang mula popular dengan lagu ‘Vision of Love’ itu turut memohon perintah sekatan bagi menghalang bekas pembantunya daripada terus melanggar perjanjian kerahsiaan, menurut kertas yang difailkan di Mahkamah Agung Negeri New York.

Azarian berkhidmat sebagai pembantu eksekutif Carey dari Mac 2015 hingga November 2017, menurut dokumen mahkamah berkenaan.

Peguam Carey masih belum memberi maklum balas ketika diminta mengulas lanjut. Azarian juga enggan mengulas lanjut.

Laman web hiburan TMZ.com berkata, Azarian secara rahsia merakam perlakuan Carey dan mengancam untuk mendedahkan video ‘memalukan’ itu melainkan bintang pop terbabit membayar sehingga AS$8 juta (RM32.8 juta).

Reuters tidak dapat mengesahkan butiran itu. – Reuters

Advertisements