PULAU PINANG: Seorang guru mata pelajaran Pendidikan Agama Islam di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau di sini dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak kelmarin. Nurfarhana Ibrahim, 27, kali terakhir berada di sekolahnya dan dilaporkan mengajar seperti biasa Isnin lalu, namun gagal dihubungi oleh suaminya yang berusia 30 tahun selepas waktu persekolahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, suami mangsa memaklumkan ada menghubungi isterinya itu kira-kira pukul 4.30 petang, namun tidak dijawab sebelum mendapati telefon bimbit mangsa ditinggalkan di rumah.

 Katanya, bimbang dengan keadaan isterinya yang pernah menerima rawatan kerana kemurungan lima tahun lalu, suami mangsa mencari isterinya itu di kawasan sekitar sekolah namun gagal mengesan mangsa.

“Pihak sekolah juga memaklumkan Nurfarhana tidak hadir bertugas semalam manakala barangan peribadinya seperti beg duit dan kunci kereta masih berada di atas meja mangsa di bilik guru sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

 Menurut Anbalagan, pihaknya juga hari ini turut menggerakkan usaha mencari guru berkenaan yang juga ibu kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun itu dengan bantuan anjing pengesan daripada Unit K9 di sekitar kawasan Balik Pulau. Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Nurfarhana segera membuat laporan di mana-mana balai polis terdekat.

Advertisements