SHAH ALAM: Seramai 30 saksi akan dipanggil untuk prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammmad Adib Mohd Kassim.

Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah berkata, ia termasuk enam doktor serta pakar forensik yang terlibat semasa rawatan sehingga Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis tahun lepas.

Jelasnya, prosiding inkues akan memakan masa selama tiga bulan bermula Februari ini.

“Mahkamah menetapkan tarikh 11 sehingga 28 Februari, 1,4 dan 5 Mac serta 19 sehingga 29 Mac dan 1 sehingga 12 April untuk prosiding inkues kematian Muhammmad Adib Mohd Kassim,” katanya semasa sebutan kali pertama kes inkues Adib di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hakim Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan hanya pihak berkepentingan iaitu peguam bagi ahli keluarga dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) boleh menyoal balas saksi dalam prosiding itu.

Rofiah turut membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk mengemukakan soalan kepada saksi.

Sementara itu, jelasnya, persoalan sama ada peguam Majlis Peguam dan peguam Jawatankuasa Petugas Khas Kuil Sri Maha Mariamman boleh menyoal saksi, ditetapkan keputusannya pada 31 Jan ini.

Terdahulu, peguam Syazlin Mansoor yang mewakili KPKT dan JBPM memberitahu Rofiah, JBPM adalah pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu kerana turut terbabit dalam siasatan kematian Muhammad Adib.

Sementara Peguam Suhakam, Mansor Saad memberitahu, pihaknya mempunyai kepentingan dalam aspek isu yang dibangkitkan dalam prosiding itu membabitkan perkara hak asasi manusia.

Muhammad Adib, 24 tahun, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lepas.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam prosiding inkues itu, majistret akan mempunyai kuasa luas mengikut Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti punca kematian.

Jelasnya, siasatan polis berhubung kematian Muhammad Adib menemukan dapatan tertentu yang hanya boleh didedahkan di mahkamah dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisements