KUALA LUMPUR: Selepas merekodkan pertumbuhan perniagaan mengagumkan dalam tempoh setahun, pembekal makanan dan minuman Chatime Malaysia Sdn Bhd bermatlamat untuk menjadi pengendali Chatime terbesar di dunia menjelang akhir tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan, Aliza Ali, berkata di bawah pelan pengembangan lima tahun, syarikat itu sedang merancang untuk secara agresif mengembangkan sayapnya ke pasaran luar negara, mensasarkan India dan Amerika Syarikat (AS), selain Singapura dan Arab Saudi, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau percaya matlamat itu akan tercapai melalui sasaran pendapatan yang tinggi sebanyak RM250 juta setahun serta kesedaran dan kesetiaan jenama yang kukuh.

“Kami kini berada di belakang Indonesia (hasil dan jumlah cawangan). Dalam tempoh beberapa bulan, kami jangka akan meraih kedudukan teratas,” katanya.

Aliza berkata, Chatime Malaysia dijangka memasuki pasaran Singapura pada suku ini dan Arab Saudi (Makkah serta Madinah) menjelang suku ketiga, melalui pembukaan 20 dan 30 cawangan.

Syarikat itu akan melabur sejumlah RM80 juta untuk kedua-dua pasaran itu.

Bagi India dan AS, syarikat itu akan memperuntukkan sejumlah RM100 juta sebagai perbelanjaan modal (capex).

“India mempunyai potensi yang besar untuk penembusan kami, memandangkan cuaca panas dan budaya minum yang sama dengan Malaysia.

“Sebaliknya, AS adalah negara besar dan mereka tidak mempunyai jenama teh gelembung yang banyak dipasarkan dan popular di sana,” katanya ketika menjelaskan bagaimana negara-negara itu dipilih.

Aliza ketika menyentuh pasaran tempatan, melahirkan keyakinan ke atas prospek dan pertumbuhan perniagaan Chatime Malaysia walaupun masih diselubungi dengan perbicaraan mahkamah membabitkan syarikat itu dengan francaisor induk sebelumnya untuk Malaysia, Loob Holding Sdn Bhd.

Syarikat itu merancang membuka 70 cawangan baharu di seluruh negara tahun ini dengan capex sebanyak RM40 juta, katanya.

“Chatime adalah sama di 40 negara lain. Saya tidak fikir masalah dengan francaisor induk (yang lama) akan mempengaruhi sentimen pasaran dan menghalang jenama ini daripada berkembang di Malaysia.

“Saya fikir pelanggan menyedari hal itu dan kita tidak perlu terlalu meyakinkan mereka kerana mereka tahu apa yang berlaku. Sehubungan itu, tugas kami adalah untuk memperluaskan lagi dan menawarkan Chatime kembali kepada mereka,” katanya.

Chatime Malaysia adalah anak syarikat milik penuh Will Group Sdn Bhd, francaisor induk bagi jenama itu di Malaysia. 

Advertisements