PETALING JAYA: Perbicaraan kes tampar anggota polis dan orang awam membabitkan pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan berikutan peguamnya, Megat Syazlee Mokhtarom kemalangan.

Perkara itu dimaklumkan peguam bagi pihak Megat, Meor Amir Meor Omar Baki ketika prosiding sambung bicara kes itu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Meor berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan kes itu disebabkan Megat patah tangan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya semalam.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon tarikh perbicaraan pada hari ini dan esok dilapangkan kepada tarikh lain kerana setakat ini Megat masih belum menjalani pembedahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak membantah dengan permohonan pembelaan, namun mahu mahkamah merekodkan bahawa saksi kelima pendakwaan, iaitu doktor hadir bagi memberikan keterangan.

Sehubungan itu, Nor Arifin menetapkan 31 Januari ini sebagai sebutan semula kes itu selain turut mengingatkan pada tarikh itu Farid, 38, juga perlu hadir.

Sementara itu, Meor ketika ditemui di luar mahkamah selepas tamat prosiding berkata Megat terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal yang dinaikinya semalam.

“Ekoran kejadian pada Ahad lalu itu Meor patah tangan kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Pada 16 Januari 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Advertisements