Kuala Lumpur: Keagungan Konsert 3 Suara yang menampilkan tiga legenda muzik, Datuk Jamal Abdillah, Zamani Slam dan Ameng Spring dua tahun lalu masih melekat dalam ingatan.

Siapa boleh melupakan kehebatan tiga sahabat lama ini tatkala beraksi di atas pentas yang cukup berprestij itu.

Selepas dua tahun, mereka kembali meneruskan legasi konsert ini April nanti.

Bercerita tentang konsert, Jamal selaku penganjur berkata dia memilih negeri kelahirannya, Perak sebagai lokasi konsert ini diadakan.

“Insya-Allah dengan kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri Perak, konsert ini dikembalikan.

“Kali ini setiap penyanyi diberi kebebasan untuk memilih lagu mereka sendiri dengan syarat lagu itu mesti sangat popular dan diminati ramai,” jelas Jamal ketika ditemui dalam sidang akhbar Konsert 3 Suara di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur.

Konsert berskala besar ini bakal diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 6 April depan bersempena pelancaran Festival Seni Perak 2019.

Menurut Jamal, selain konsert terdapat juga beberapa aktiviti lain antaranya Food Truck, Zumba, Car Boot Sales, pertandingan karaoke lagu-lagu popular Jamal dan pelbagai lagi.

“Harga tiket sudah tentu lebih rendah berbanding Konsert 3 Suara sebelum ini kerana penonton dan lokasi berbeza.

“Tiket mula dijual esok dan pada yang berminat boleh layari http://www.ilassotickets.com,” jelas Jamal. 

Advertisements