SHENZHEN: Seorang saintis China yang menemui dan menggunakan kaedah ‘mengubah’ genetik bayi, dan mendakwa ia yang pertama seumpamanya di dunia, telah dipecat dari universitinya.

Reuters melaporkan, tindakan itu diambil selepas mendapati dia melanggar etika dan mengetepikan pandangan pakar.

Saintis tersebut, He Jiankui, pada November lalu membuat pendedahan bahawa dia menggunakan teknologi suntingan genetik yang dikenali sebagai CRISPR-Cas9 untuk mengubah gen embrio bayi perempuan kembar pada bulan itu.

Pengakuannya telah mencetus kritikan antarabangsa yang marah kerana Jiankui melanggar batasan etika dan menjejaskan aspek keselamatan dalam penyelidikannya.

Ratusan saintis China dan antarabangsa mengutuk tindakan Jiankui, serta menegaskan bahasa sebarang aplikasi mengubah gen pada membrio manusia bagi tujuan reproduksi sangat tidak beretika.

Suruhanjaya Kesihatan China juga mengecam tindakan Jiankui dan telah mengeluarkan perintah pemberhentian aktiviti penyelidikan yang melibatkan pengubahan gen manusia.

Jiankui juga sanggup mengumpul dana untuk dirinya dan juga pasukan penyelidiknya demi menjayakan prosedur tersebut, yang disifatkan sebagai strategi untuk memperoleh kemasyhuran dan keuntungan.

Keselamatan dan keberkesanan teknologi yang digunakan Jiankui tidak mempunyai jaminan, malah idea mencipta bayi yang diubah secara genetik diharamkan dalam undang-undang negara China.

Southern University of Science and Technology (SUSTech) di bandar raya Shenzhen, menerusi satu kenyataan dalam laman web rasminya, telah memecat Jiankui.

“Berkuat kuasa serta-merta, SUSTech akan menghenntikan kontrak kerja Dr Jiankui dan menamatkan semua ajaran dan aktiviti penyelidikannya,” tambah kenyataan itu.

Advertisements