KUALA LUMPUR: Perubahan pada wajah selebriti tempatan sering menjadi bualan di laman sosial, terutama dalam kalangan peminat yang setia mengikuti perkembangan artis pujaan mereka.

Pelakon Nina Iskandar juga tidak terkecuali berdepan senario itu apabila perubahan pada bentuk bibirnya membuatkan ada pihak beranggapan, dia menjalani rawatan kosmetik.

“Saya pernah membuat penjelasan berhubung isu yang sama. Memang bibir kelihatan berbeza, tetapi ia sebenarnya kesan jahitan akibat kemalangan yang dialami November lalu.

“Saya tidak pernah suntik atau melakukan sebarang rawatan untuk mendapatkan bentuk bibir yang lebih menarik,” katanya.

Berharap peminat sentiasa mendoakan kesihatannya supaya kembali pulih, pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu berkata, jahitan pada bibirnya memerlukan masa untuk sembuh.

November lalu, Nina terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan pada bibir, selain retak tulang belakang.

“Saya masih trauma untuk memandu dan jika boleh, saya tidak mahu ingat lagi peristiwa hitam itu. Alhamdulillah, saya kini boleh kembali bekerja dengan tenang.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak lupa mendoakan kesejahteraan saya,” kata Nina.

Berkongsi perkembangan kerjayanya, Nina memaklumkan, sedang menjalani penggambaran telefilem Islamik, Yang Terindah arahan Pak Halim.

Selain itu, drama bersiri lakonannya, Setelah Cinta Itu Pergi sedang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3.

Advertisements