KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, terdapat cubaan untuk mempercepatkan kes rasuah yang dihadapinya tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akhberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah, 67, ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Akhberdin memberitahu mahkamah, pihaknya perlu meneliti kesemua 360 muka surat dokumen membabitkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

“Bagaimanapun, anak guam kami merasakan terdapat cubaan untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadapnya,” katanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memberitahu mahkamah bahawa prosiding hari ini hanya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan tidak membabitkan permohonan untuk kes dibicarakan bersama.

“Antara alasan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi adalah kerana pihak pendakwaan mahu kes ini selesai dengan teratur memandangkan Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang besar berbanding Mahkamah Sesyen.

“Sekiranya kes dimulakan di Mahkamah Tinggi, ia boleh didengar sehingga Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan untuk kesemua kes yang dihadapi Rosmah dibicarakan bersama.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 15 Mac ini untuk mendengar permohonan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Dia didakwa meminta suapan berjumlah RM187.5 juta iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan kontrak pembekalan solar bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac dan April 2016 dan di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Advertisements