ALOR SETAR: Bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban dalam kejadian rusuhan, November lalu, berharap perbicaraan kes anaknya dapat dipercepatkan selepas 39 hari arwah meninggal dunia.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata kes perbicaraan itu perlu disegerakan supaya mereka sekeluarga mendapat keputusan dengan cepat, selain pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dibawa ke muka pengadilan.

“Saya berharap perbicaraan terhadap kes anak saya dapat dipercepatkan supaya mendapat keadilan sewajarnya.

“Mengenai inkues kes ini saya tak berapa tahu sangat, cuma saya harap perbicaraan kes anak saya dipercepat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Allahyarham Muhammad Adib di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Kassim dan isterinya, Asma Aziz, 52, dan dua anak perempuan mereka menerima sumbangan kutipan Tabung Wira Merah Mohd Adib yang disampaikan Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd Zahar Abdullah.

Mereka turut menerima sumbangan RM2,500 dari Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan RM500 dari ahli perniagaan, Datuk Che Rozmey Che Din.

Mohd Kassim berkata, mereka sekeluarga berterima kasih kepada pihak JBPM Kedah dan semua pihak yang menyampaikan sumbangan itu.

Sementara itu, Mohd Zahar berkata, kutipan Tabung Wira Merah Mohd Adib masih berjalan dan orang ramai boleh menyalurkan sumbangan di 19 Balai Bomba dan Penyelamat di Kedah.

Advertisements