KANGAR: Mahkamah Sesyen menetapkan 15 Feb untuk mendengar semula sebutan kes bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail menyerahkan dokumen kes itu kepada Shahidan, pagi ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Arau itu tiba di mahkamah seawal 8.30 pagi dengan memakai kot dan berseluar hitam, serta membawa tongkat.

Beliau diwakili peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan.

“Dokumen sudah diserahkan kepada Datuk Seri dan mahkamah memberikan tarikh sebutan pada 15 Februari, untuk pengurusan kes.

“Jadi, kita akan tengok dokumen-dokumen itu untuk perbicaraan,” kata Zuhair kepada media.

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Mohd Hapiz Rajali memaklumkan, keluarga remaja itu masih berhasrat untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

Pada 21 Oktober, 2018, seorang remaja berusia 15 tahun yang difahamkan penyanyi kumpulan buskers tajaan Shahidan, tampil membuat laporan polis dengan mendakwa dia dicabul Ahli Parlimen Arau itu.

Bagaimanapun, laporan tersebut telah ditarik balik dalam tempoh kurang 24 jam, atas alasan tidak mahu memanjangkan kes.

Shahidan, 67 tahun, didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga bahu remaja itu dalam kereta di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 11.30 malam 20 Okt 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Advertisements