BATU KAWAN: Tindakan tetap diambil terhadap seorang lelaki yang memohon maaf selepas melemparkan komen berbaur hinaan terhadap tugas anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Saadon Moktar, berkata tindakan akan diambil mengikut Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Beliau berkata, JBPM menerima permohonan maaf lelaki itu tindakan ke atasnya tetap dipertimbangkan selepas siasatan polis selesai.

“Tindakan itu kita tangguhkan dulu kerana individu itu turut disiasat mengikut peruntukan polis.

“Kita tidak mahu dia dikenakan dua tindakan serentak dan masih mempunyai budi bicara yang mana kita akan menunggu hasil laporan polis sebelum menyiasat serta mengambil tindakan mengikut akta bomba,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM, di sini, hari ini.

Pada hari kedua SAR bagi mencari mangsa, Moey Yun Peng, 20, yang terhumban ke dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang bersama kenderaannya selepas terbabit dalam kemalangan, seorang lelaki mencetuskan kemarahan netizen apabila membuat komen di laman sosial yang memperlekehkan tugas anggota bomba.

Komen berkenaan turut mengguris perasaan keseluruhan anggota bomba hingga mendorong lelaki terbabit tampil membuat permohonan maaf di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Georgetown.

Saadon berkata, mengikut Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), mana-mana individu yang mencaci, mengganggu dan menghalang tugas polis sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kertas siasatan mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang tidak boleh ditarik balik.

“Tindakan perlu diambil bagi memberi pengajaran supaya tiada lagi yang melemparkan komen tidak baik terhadap anggota penyelamat yang sentiasa bertungkus-lumus dalam operasi menyelamat mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad lalu, Yun Peng yang juga pelajar kolej swasta, maut selepas SUV dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut.

Anggota penyelamat mengambil masa lebih 48 jam bagi menjalankan SAR sebelum menarik keluar kenderaan bersama mayat mangsa pada jam 6.10 petang, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah, berkata pihaknya akan menubuhkan Pasukan Penyelamat Sukarela di air membabitkan nelayan bagi membantu anggota bomba menyelamatkan individu yang cuba membunuh diri di kedua-dua jambatan di negeri itu.

“Memang kita mengadakan rondaan harian di kedua-dua jambatan ini melalui unit marin Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) namun kekuatannya kurang mencukupi.

“Nelayan banyak membantu kita menyelamatkan individu yang cuba membunuh diri dan pada masa depan kita mahu menjadikan mereka pasukan penyelamat sukarela di air,” katanya.

Advertisements