PUTRAJAYA: Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam diperkenalkan sebagai inisiatif kerajaan bantu golongan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata di bawah skim itu, penerima layak mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan alzheimer.

“Penerima skim mySalam akan mendapat bayaran ‘one-off’ (sekali gus) sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap penyakit kritikal.

“Skim mySalam juga memberi bayaran harian RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

“Saiz dana permulaan skim mySalam sebanyak RM2 bilion dijangka dapat menawarkan perlindungan perubatan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun bagi golongan sasar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam, di sini hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Skim mySalam bermula pada 1 Januari lalu dan penerima B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac nanti.

Advertisements