KUALA LUMPUR: Hanya lapan Raja-raja Melayu hadir di Istana Negara bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke 16, hari ini.

Pertama hadir adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pintu masuk utama Istana Negara tepat jam 10 pagi diikuti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Selang 12 minit kemudian, Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hadir diikuti Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 10.13 pagi.

Kira-kira lima minit kemudian, keberangkatan tiba Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tepat jam 10.20 pagi.

Makanala Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tiba jam 10.22 pagi.

Terakhir tiba, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir kemudian tiba pada jam 10.28 pagi sebelum pintu pagar utama Istana Negara ditutup.

Bagaimanapun, bekas Yang di-Pertuan Agung, Sultan Muhammad V tidak kelihatan memasuki pintu masuk utama Istana Negara, hari ini.

Sebaik kelapan-lapan Raja-raja Melayu tiba, mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke 16 bermula.

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.

Menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.

Advertisements