KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Almy Nadia kembali menjadi sasaran perdebatan netizen apabila mengakui, berdepan masalah kekurangan susu badan gara-gara mengamalkan diet ketat ketika berpantang.

Isteri kepada Datuk Fizz Fairuz itu sebelum ini, memuat naik foto makanan berpantang bersama catatan sinis seolah-olah hilang sabar apabila fizikalnya sering menjadi sendaan netizen.

Namun, tindakannya itu kembali mencetuskan perdebatan ramai, malah Almy sekali lagi dipersalahkan apabila dikatakan sengaja mencari alasan untuk mengelak daripada menyusukan anak.

Enggan perkara itu berulang, Almy, 32, bertekad untuk tidak lagi berkongsi pemakanan yang diamalkan gara-gara memenuhi permintaan ramai yang ingin melihatnya kembali kurus.

“Kongsi salah, tak kongsi salah. Tidak faham kenapa mereka sanggup berdebat?

Masing-masing membuat pelbagai kenyataan dan saya turut terpalit sama dosa apabila marah selepas membacanya. Dosa faham?,” luah Almy dalam satu muat naik, tetapi dipadamkan tidak lama selepas itu.

Pelakon yang popular menerusi drama Dunia Baru itu, baru-baru ini berkongsi foto makanan yang diamalkannya selepas melahirkan anak perempuan ketiga, Nur Afrina Ayra pada 15 Disember lalu.

Ekoran mengamalkan pemakanan tanpa garam, gula dan minyak kerana mahu segera langsing, Almy mendakwa, mengalami masalah susu badan berkurangan.

Pengakuan Almy itu membuatkan dirinya kembali dihentam netizen yang menganggap dia sengaja meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain sebagai punca masalah itu berlaku.

Menerusi entri yang sama, Almy turut meminta mereka yang tidak senang dengan setiap perkongsiannya supaya tidak lagi mengikutnya di Instagram.

Sebelum ini, Almy sering menjadi bahan sendaan netizen yang membandingkan perbezaan susuk tubuhnya sebelum dan selepas mendirikan rumah tangga.

Perkara itu membuatkan Almy berulang kali memuat naik luahan hatinya yang terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang sesuka hati menghentam tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Almy dan Fizz mendirikan rumah tangga pada 2014. Selain Ayra, pasangan itu dikurniakan dua lagi anak perempuan, Nur Afrina Arianna, 4, dan Nur Afrina Aurora, 3. Mereka juga mempunyai anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 10.

Advertisements