KUCHING: Bukit Aman mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ‘promosi’ diskaun saman trafik ditawarkan individu atau sindiket tertentu.

Hasil risikan dijalankan mendapati tawaran itu sebenarnya adalah helah untuk mereka mengaut keuntungan mudah, tetapi saman yang kononnya dibayar sebenarnya tidak diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mendedahkan taktik itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata orang ramai terpedaya dengan tawaran sindiket yang bersekongkol dengan pegawai dan anggota jabatannya sehingga mudah menyerahkan bayaran sewenang-wenangnya.

“PDRM ada sistem bayaran saman yang dikawal selia dengan rapi. Polis dapati ada pengguna sudah membayar sejumlah wang kepada sindiket untuk menyelesaikan saman namun kesalahan yang dilakukan masih ada dalam sistem kami.

“Ini bermakna sindiket mengaut keuntungan mudah sehingga ramai yang tertipu dan datang ke Bukit Aman untuk membuat rayuan,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, semalam.

Mengikut statistik PDRM, sebanyak purata 5.5 juta sama dikeluarkan setiap tahun namun kadar pembayaran hanya 40 peratus daripada jumlah itu.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis yang dikesan bekerjasama dengan sindiket ini akan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa ada kompromi.

Katanya, terdapat beberapa kes yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada suruhanjaya berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai konteks penguatkuasaan trafik, Azisman berkata semua kontinjen sudah menubuhkan Skuad 42 dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalan raya.

“Pendekatan ini berkesan kerana anggota akan menyamar dan merakam aksi berbahaya yang dilakukan penunggang motosikal sebelum tangkapan dibuat.

“Dengan adanya bukti sebegini, orang ramai akan lebih gerun dan terbukti dapat menurunkan kadar lumba haram terutamanya di bandar utama seluruh negara,” katanya.

Advertisements