SETELAH sekian lama membujang, penyanyi terkenal Zamani Ibrahim atau Zamani masih belum menunjukkan tanda-tanda yang dia akan berkahwin.

Sejak dari awal kemunculannya bersama band Slam, Zamani dan kisah perkahwinan tidak pernah lekang daripada dibicarakan di media tempatan.

Pernah dikaitkan dalam beberapa siri ‘percintaan’ dengan beberapa wanita termasuk seorang artis wanita tersohor, Zamani dikenali wartawan sebagai artis yang kurang gemar bercakap mengenai hal peribadi.

Namun, dalam sidang akhbar sempena Konsert 3 Suara di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zamani membuat pengakuan, dia terpaksa menangguhkan keputusan untuk berkahwin kerana harus mendahulukan karier seninya.

Zamani yang sangat terkenal dengan lagu Gerimis Mengundang memberitahu, dia tidak bermaksud untuk membiarkan semua orang menunggunya naik pelamin apa lagi pada usianya bakal mencecah 48 tahun pada Mei depan.

“Bukan nak mendahulukan karier, saya sama sekali tak bermaksud nak biar orang menunggu tapi memang tak dinafikan karier sekarang sedang berkembang dengan baik, suka ataupun tidak saya terpaksa tangguhkan dahulu soal kahwin,” ini jawapan Zamani apabila ditanya soal menamatkan zaman bujang seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Zamani berjanji tidak akan merahsiakan hal perkahwinan apabila sampai masanya kelak.

Advertisements