KUALA LUMPUR: Pengguna kelas satu di Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) masing-masing akan menikmati diskaun sebanyak 30 peratus dan 15 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Taliworks Corporation Berhad (TCB), syarikat induk Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) memegang konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang dan syarikat usaha samanya, Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd (Grand Sepadu), memegang konsesi NNKSB.

Pengarah Eksekutif Grand Saga dan Grand Sepadu, Chee Lean Thong, berkata berkata pemberian diskaun itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pengguna setia kedua-dua lebuh raya terbabit.

“Semua pengguna lebuh raya dapat menikmati diskaun berkenaan pada 5 Februari bermula jam 12.01 tengah malam sehingga 11.59 malam.

“Pemberian diskaun turut diberikan sempena Aidilfitri, Deepavali dan Krismas bagi tahun ini.

“Kita berharap pengguna akan mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung di Plaza Tol Batu 11 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Seri Aziz Abdullah.

Sementara itu, Aziz berkata Op Selamat 14 yang bermula semalam mencatatkan sebanyak 51 kes kemalangan di lebuh raya yang dipantau LLM.

“Masih terlalu awal untuk membuat perbandingan statistik, namun pengguna lebuh raya harus sedar kerajaan sentiasa komited untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

“Sehingga 80 peratus kemalangan didapati berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri.

“Hanya kita sendiri dapat mengubahnya, semoga pemandu atau penunggang akan mengamalkan pemanduan selamat sempena musim perayaan ini,” katanya.

Advertisements