KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa yang maut dalam kebakaran di rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Sepang, Isnin lepas masih belum berkahwin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata pasangan itu, Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, merancang bernikah pada Jumaat ini.

“Menurut jiran mangsa, kedua-dua mereka telah menetap di rumah berkenaan sejak enam bulan lepas.

“Siasatan polis mendapati mangsa lelaki merupakan seorang duda yang mempunyai tiga anak dan telah berpisah dengan isteri pertamanya pada 2017,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Fadzil berkata bedah siasat ke atas mayat wanita mendapati punca kematian disebabkan hentakan benda keras dan tumpul di kepala.

“Hasil bedah siasat ke atas lelaki  pula mendapati punca kematian adalah kerana lemas akibat asap kebakaran,” katanya.

Semalam, polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh selepas laporan awal bedah siasat ke atas Norwahidah menemukan kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.

Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya.

Advertisements