LINDA Rafar menerima lebih 40 ‘Direct Message’ (DM) di Instagram daripada individu yang memohon maaf semalam selepas menulis komen keterlaluan memburukkan penyanyi itu dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam Disember lalu.

Linda, 41, berkata, selepas berita dia akan memfailkan saman terhadap lebih 100 individu yang melakukan perkara itu semalam, dia menerima bertalu-talu mesej di Instagram yang tampil memohon maaf dan mengakui kesilapan dibuat.

“Buat masa sekarang, peguam saya sedang membuat tapisan untuk pengecualian notis. Seperti yang dimaklumkan semalam, permohonan maaf itu perlu dibuat secara jelas dan terperinci. Bukan hanya hantar menghantar mesej minta maaf saja.

Linda berkata, jika mereka masih berdegil untuk memenuhi syarat diberikan, notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka tetap akan dihantar atau berdepan tindakan saman.

“Ada yang menghantar mesej mereka menyesal kerana tak berfikir sebelum komen selain dipengaruhi rakan. Tahu pun mereka malu. Malu saya dan keluarga nak letak mana? Selepas apa yang mereka lemparkan kepada saya, baru pula mereka nak fikir perkara itu salah.

“Apa pun, saya kena ikut nasihat peguam. Permohonan maaf itu perlu beradab dan jelas serta dibuat secara terbuka. Saya akan memuat naik permohonan maaf yang sudah diluluskan peguam di Instragram,” katanya.

Dalam pada itu, tindakan Linda itu turut mendapat pujian rakan artis yang menyifatkan dirinya berani.

“Alhamdulillah, ramai rakan artis dan orang sekeliling menyokong saya. Mereka memaklumkan jika saya tak buat, perkara ini akan berterusan. Mereka puji saya berani ‘ajar’ netizen,” katanya.

Semalam, Linda mengadakan sidang media memaklumkan bakal memfailkan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial berhubung isu terbabit.

Linda menuntut individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial yang digunakan.

Linda menerusi wakil peguamnya, Nurul Hafidzah & Associates berkata notis tuntutan itu akan dihantar dalam tempoh sebulan bermula tarikh semalam.

Isu ini timbul apabila Linda meluahkan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat terhadap arwah ibunya, Rasimah Abd Rahman yang ketika itu dirawat di Hospital Shah Alam.

Status yang dimuat naik di Instagram Story pada 27 Disember itu tular dan mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk Pengarah dan Timbalan Pengarah Hospital itu.

Kementerian Kesihatan turut mengambil maklum dan memandang serius mengenai dakwaan itu.

Dalam masa sama, Deligasi Jururawat Malaysia (DON) membantu seorang jururawat memfailkan saman selepas didakwa menjadi mangsa fitnah penyanyi itu.

Kes itu sedang berjalan di Mahkamah Shah Alam selepas pihak Linda menerima notis pada 8 Januari lalu.