PENYANYI irama R&B tersohor dunia, James Ingram meninggal dunia pada usia 66 tahun pada Selasa.

Berita kematian penyanyi yang sangat masyhur menerusi lagu ‘Just Once’ dan ‘I Don’t Have The Heart’ itu disahkan sahabat karib dan rakan kongsi kreatif mendiang, Debbie Allen.

“Saya kehilangan sahabat. Dia akan selalu dihargai, disayangi dan dikenang di atas kebijaksanaan, kasih sayang pada keluarga dan kemanusiaan.

“Saya amat bersyukur kerana dapat mendekatinya. Kami akan sentiasa mengenangnya,” kata Allen dalam laman Twitter.

Bagaimanapun, sebab kematian Ingram tidak boleh dimaklumkan Allen.

Sebelum bergelar penyanyi solo, penghibur kelahiran Ohio, Amerika Syarikat itu memulakan kerjaya seninya bersama kumpulan Revelation Funk dan bermain keyboard mengiringi persembahan seniman legenda, Ray Charles.

Mendiang Ingram sepanjang kerjaya seninya pernah dicalonkan sebanyak 14 kali dalam Anugerah Grammy serta pernah meraih trofi Penyanyi Lelaki Terbaik (R&B) dalam anugerah berkenaan menerusi lagu One Hundred Ways pada 1981.

Mendiang juga dilaporkan pernah jatuh sakit untuk satu tempoh masa.

Sehingga kini juga, tiada sebarang maklumat mengenai upacara pengebumian mendiang Ingram dikongsi pihak keluarganya.

Advertisements