PETALING JAYA: Tun Mahathir Mohamad menafikan laporan media sebelum ini tentang status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sah dibatalkan.

Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan buat masa ini, belum ada sebarang keputusan muktamad berkenaan projek yang diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) itu.

“Setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat mengenai ECRL. Sebelum ini sudah ada ketetapan, tapi sekarang ada perubahan.

“Kedua-duanya (Guan Eng dan Azmin) betul, tetapi mereka membuat pengumuman pada masa yang salah.

“Menteri hadir dalam mesyuarat Kabinet, tetapi media tidak laporkan perkara sebenar dengan menekankan perkara lain.

“Yang patut diberi perhatian adalah berkenaan memastikan hubungan kita dengan China kekal utuh kerana China akan menjadi rakan pelaburan dan pasaran yang baik bagi kita,” kata Tun Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada Selasa.

Sebelum ini, media pada Sabtu melaporkan Azmin membuat kenyataan bahawa ECRL sah ditamatkan selepas perbincangan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.

Namun Guan Eng kemudian dilaporkan sebagai berkata beliau terkejut dengan kenyataan Azmin dan memaklumkan status ECRL belum dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.