KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tunggakan saman trafik yang mencecah jutaan ringgit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perbincangan akan dijalankan selepas selesai musim perayaan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Tak mengapalah. Dia (polis) tak kata dia tak setuju. Lepas ini kita bincang, selepas Tahun Baharu Cina,” katanya dalam sidang media selepas mengedarkan pek cenderahati kepada penumpang tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin.

Loke berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, yang akan bertemu dengan beliau dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, untuk membincangkan kaedah terbaik bagi menggalakkan pesalah trafik membayar saman.

Selasa lalu, Loke mencadangkan tiada sebarang tawaran diskaun diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan JPJ bagi kesalahan lalu lintas.

Dasar tiada diskaun itu tidak bermusim dan akan diteruskan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan saja seperti mana sebelum ini bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata sebanyak 129,822 tiket perjalanan ETS ditawarkan bermula hari ini sehingga 10 Februari depan.

“Sebanyak 89 peratus iaitu 116,065 tiket sudah dijual setakat ini, yang dijangka dapat memenuhi permintaan penumpang.

“Selain itu, empat perkhidmatan ETS tambahan bagi sektor Kl Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral, akan mula beroperasi pada 1 sehingga 4 Februari ini.

“Sebanyak 9,984 tiket ETS tambahan turut disediakan dan 7,158 daripadanya sudah dijual,” katanya.

Advertisements