MKUALA LUMPUR: Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menawarkan diskaun 10 peratus kepada pengguna kenderaan kelas 1 sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata , pemberian diskaun berkenaan akan berkuat kuasa bermula jam 12.00 tengah malam hingga jam 11.59 malam pada Selasa, 5 Februari ini.

Katanya, ia adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sejak 2011 yang bertujuan menghargai pengguna Lebuhraya KLK dan LPT1 bagi semua perayaan utama di Malaysia.

“Disamping itu, kami turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke negeri-negeri di Pantai Timur sempena cuti sambutan Tahun Baru China ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, TTA itu bertujuan bagi membantu menyuraikan trafik serta mengurangkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol pada waktu puncak, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak yang boleh menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata, bagi perjalanan menghala ke pantai timur, waktu puncak trafik yang dijangkakan di Lebuhraya KLK dan LPT1 adalah pada 1 Februari mulai jam 9 pagi dan 4 Februari (mulai jam kira-kira 3 petang).

Bagi perjalanan menghala Kuala Lumpur pula, trafik dijangkakan sesak pada 9 dan 10 Februari, antara jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

“Sehubungan itu, kami menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Kelantan dan Terengganu pada 2 dan 3 Februari ini supaya masuk ke lebuh raya sama ada pada jam 6 hingga 10 pagi atau antara 5 petang hingga 8 malam.

“Bagi pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau pada jam 7 petang hingga 11 malam,” katanya.

Nik berkata, bagi pengguna dari Pahang yang mahu pulang ke ibu kota pada 8, 9 dan 10 Februari, mereka boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara jam 6 hingga 10 pagi atau antara jam 7 petang hingga 11 malam.

“Pada tarikh sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara jam 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam.

“Bagi pengguna dari Kelantan, mereka boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam,” katanya.

Katanya, jadual TTA boleh dirujuk di laman web ANIH Berhad atau Twitter @LPTTrafik atau Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

Advertisements