SERDANG: Kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran, akan dilancarkan bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata inisiatif hasil kerjasama antara kementerian itu dengan Kementerian Pendidikan, akan memupuk pemikiran rakyat untuk membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

“Pada bulan Februari ini, kita bersama Kementerian Pendidikan akan melancarkan (inisiatif baharu) supaya sukatan pelajaran dalam buku teks kita akan menyerap unsur keselamatan jalan raya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Menerusi kempen PETRONAS Coffee Break, pengguna jalan raya akan diberi kopi dan snek percuma pada 2 dan 3 Februari serta 9 dan 10 Februari depan di 150 stesen PETRONAS terpilih seluruh Malaysia, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Mengulas lanjut, Loke berkata jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berkurangan tahun lalu apabila 6,284 kes direkodkan, berbanding 6,740 kematian pada 2017.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kes kemalangan jalan raya masih menunjukkan arah aliran meningkat, daripada 370,000 kes pada 2008 kepada 530,000 kes pada 2017.

“Penurunan ini bukanlah sesuatu yang boleh membuat kita rasa lega kerana masih ada lebih 6,200 nyawa terkorban di atas jalan raya tahun lalu dan jumlah ini masih tinggi serta mendukacitakan.

“Bagi kementerian, setiap tahun kita nak laksanakan inisiatif untuk mengurangkan kadar kematian ini dan kalau boleh, kita nak sifar kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan memberikan diskaun insurans premium kepada pemandu berhemah, Loke berkata pihaknya masih menunggu maklum balas Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

“Saya sudah minta PIAM menggariskan mekanisme untuk menzahirkan insentif dan diskaun itu untuk pemegang insurans premium yang tidak menerima sebarang saman daripada pihak berkuasa.

“Saya berharap mekanisme itu akan diusulkan kepada kami pada tahun ini dan kita boleh lancarkan tahun ini juga,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya dijangka menerima kunjungan rakan sejawatan dari Singapura pada hujung bulan ini untuk berbincang mengenai pertikaian ruang udara antara kedua-dua negara.

“Saya baru saja bertemu Menteri Pengangkutan Singapura minggu lalu. Kami masih menunggu perbincangan lebih teknikal antara kedua-dua negara yang akan diadakan dalam tempoh sebulan.

“Menteri Pengangkutan Singapura mungkin akan datang ke Kuala Lumpur pada hujung Februari,” katanya.

Advertisements