TAIPING: Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di hadapan Surau Nur Iman, Kampung Pinang Seberang, Kamunting di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4.35 petang itu, bayi itu ditemui di dalam kotak dengan badannya dibalut dengan kain dan ditinggalkan di hadapan surau berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Razlam Ab Hamid, berkata bayi itu ditemui oleh seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Bayi berkenaan ditinggalkan di dalam kotak dalam keadaan masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Razlam berkata, bayi dipercayai baru dilahirkan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

Advertisements