BAYARAN Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 bagi fasa kedua dan ketiga, masing-masing dijadualkan akan diagihkan pada Mei dan Ogos depan.

Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan, bayaran fasa pertama BSH 2019 dilaksanakan pada 28 Januari lalu dan memanfaatkan empat juta isi rumah dengan bayaran RM300 bagi setiap isi rumah membabitkan peruntukan RM1.2 bilion.

“Untuk menerima bayaran BSH 2019 selanjutnya, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemas kini maklumat isi rumah. Secara amnya, isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan layak untuk menerima bantuan ini.

Menurut kenyataan itu, borang permohonan BSH 2019 boleh didapati secara percuma di mana-mana Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil

(PKH) LHDN atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN.

Katanya, pemohon juga boleh memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH di https://bsh.hasil.gov.my manakala, untuk permohonan dalam talian juga boleh dibuat pada laman web berkenaan.

“Baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Kaedah baharu BSH 2019 termasuk pengenalan kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau e-mel kepada bsh@treasury.gov.my,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut, pihak kerajaan akan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan pendaftaran setempat, terutamanya untuk membantu pendaftaran isi rumah dari kawasan pedalaman terpencil serta golongan tertentu seperti yang terlantar.

“Kementerian Kewangan akan mewujudkan jalinan usaha sama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang pernah menjalankan kerja pendaftaran sebelum ini.

“Pada masa yang sama, proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta bersasaran kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan berada,” katanya.

Mengulas lanjut, pendekatan BSH adalah selaras keprihatinan kerajaan untuk mensasarkan bantuan hanya kepada golongan layak menerima iaitu golongan yang amat memerlukan bantuan bagi menghadapi kos sara hidup.

“Kadar inflasi pada tahun lalu adalah hanya pada tahap satu peratus berbanding 3.7 peratus untuk tahun 2017. Kadar inflasi 2018 adalah tahap terendah dalam tempoh sembilan tahun, menunjukkan langkah kerajaan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkesan dalam menyederhanakan kenaikan harga.

“Kerajaan akan terus berusaha menguruskan perkara ini melalui langkah seperti BSH serta mengadakan kajian khas ke atas struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga setengah barangan keperluan, naik lebih tinggi daripada kadar inflasi rasmi.

“Usaha ini dilakukan untuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan kenaikan harga barang keperluan terkawal,” katanya.

Advertisements