KUALA LUMPUR : Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Langkah itu dibuat selepas Hadi memutuskan untuk  menyelesaikan kes saman terbabit di luar mahkamah, dalam kes yang difailkan di London, United Kingdom itu.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Bagaimanapun Brown memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah berkenaan pada April 2018, antara lain atas alasan intimidasi saksi.

Dakwa Brown dalam permohonannya, mengadu Hadi memutarbelitkan maksud kata-katanya untuk tujuan tersembunyi partinya dan bukan untuk mempertahankan reputasi diri.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata penyelesaian luar mahkamah itu turut melibatkan tindakan Rewcastle Brown untuk menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

“Tiada perintah berkenaan kos (no order as to costs); dan kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini,” kata kenyataan itu.

Pada 9 Januari lalu, media melaporkan Pas berjaya mengumpul lebih setengah juta ringgit untuk membiayai membiayai kos guaman untuk saman ke atas Sarawak Report.

Advertisements