KUALA LUMPUR: Penyanyi, Indah Ruhaila, akui risau dengan penerimaan peminat terhadap single baharunya, Pudar, yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Indah berkata, pastinya penggemar muzik mengharapkan karya terbaik daripadanya selepas lebih dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu.

“Kali terakhir saya tampil dengan single adalah pada 2016, iaitu menerusi Semua Untuk Cinta. Bagaimanapun, ia gagal mendapat perhatian ramai seperti dilakukan oleh Percayalah, kira-kira lima tahun lalu.

“Jadi, apabila orang bercakap dan mengharapkan runut bunyi Nur 2 bakal menjadi lagu yang hebat seperti Tak Pernah Hilang (nyanyian Kaer dan Amylea) daripada musim pertama drama terbabit, ia membuatkan saya berdebar juga.

“Terasa seperti berdepan dengan tanggungjawab yang sangat berat sebab peminat mengharapkan saya muncul dengan lagu yang bagus. Apapun, saya sudah berusaha sebaik mungkin dan selebihnya terserahlah kepada peminat untuk menilainya,” kata Indah.

Bercakap mengenai Pudar, karya ciptaan sepenuhnya Amylea itu mengisahkan mengenai seorang pendosa.

Menurut Indah, Pudar mempunyai lirik sangat mendalam dan ia akan memberi pemahaman serta perspektif berbeza bagi setiap individu.

“Lagu ini sangat mendalam liriknya, tetapi ia mempunyai melodi yang mudah diingati.

“Saya juga mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pelakon Nur 2, Noorkhiriah, yang sangat menyukai lagu ini. Katanya, Pudar membuatkan dirinya menangis.

“Diharap peminat di luar sana juga dapat menjiwai Pudar dan memahami mesej yang cuba disampaikan. Saya mampu katakan, Amylea seorang yang sangat hebat dalam mencipta lagu ini,” ujarnya.

Single terkini daripada Indah itu dijangka dilancarkan pada bulan ini.

Advertisements